Monday, June 28, 2010

Broker Elektronik Asing Dibenarkan Menawarkan Perkhidmatan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Broker elektronik asing dibenarkan menawarkan platform pembrokeran secara elektronik untuk urus niaga borong antara bank dalam pasaran pertukaran asing Malaysia mulai 1 Julai 2010, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Ia berkata inisiatif ini bertujuan menambah penyertaan peserta baharu dalam pasaran pertukaran asing bagi meningkatkan lagi kedinamikan dan daya saing pasaran tersebut.

"Fleksibiliti ini akan menggalakkan aktiviti urus niaga yang lebih pesat kerana platform pembrokeran secara elektronik dapat meningkatkan ketelusan, menambah baik kecekapan pasaran dan mengurangkan kos urus niaga peserta pasaran," kata BNM dalam kenyataan pada Jumaat.

Broker elektronik asing yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan tersebut di Malaysia boleh mengemukakan permohonan kepada Bank Negara Malaysia selaras dengan peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, kata bank pusat itu.

Dalam menilai permohonan, kriteria yang akan diambil kira ialah: pemohon mestilah syarikat yang diperbadankan di Malaysia; mempunyai rekod prestasi yang kukuh di peringkat antarabangsa; mempunyai cadangan perniagaan yang boleh laksana bagi menyumbang kepada pembangunan pasaran pertukaran asing di Malaysia; dan mempunyai keupayaan sistem serta infrastruktur bagi menyokong perniagaannya, termasuk menangani sebarang keadaan luar jangkaan dan mempunyai prosedur pemulihan bencana.